28 Mac 2010

EIWAN DAN ALONG JIEHA WAKILI SEKOLAH KE PERINGKAT DAERAH MUAR

Peserta pertandingan mewarna dan hafazan prasekolah pada majlis penyampaian hadiah di SK Seri Bukit Pasir, Muar.

Eiwan sedang menerima hadiah saguhati dan sijil pertandingan mewarna prasekolah

Nurin Izzati sedang menerima hadiah keempat dan sijil pertandingan hafazan prasekolah.

Peserta Kemahiran Hidup SKPK bersedia untuk menerbangkan kapal terbang mereka.

27 Mac 2010, Eiwan dan Along Jieha telah mewakili Zon Bukit Gambir dalam pertandingan mewarna dan kuiz sains peringkat daerah Muar sempena Karnival Koakademik Sekolah Rendah Daerah Muar yang berlangsung di SK Seri Bukit Pasir, Muar.

Eiwan mendapat hadiah saguhati dan sijil. Along pun sama juga. Adik Nurin Izzati yang menyertai pertandingan hafazan mendapat tempat keempat dalam pertandingan itu. Turut menyertai pertandingan itu kumpulan Kemahiran Hidup yang membawa 'kapal terbang' untuk pertandingan itu.

25 Mac 2010

EIWAN DAPAT TEMPAT KEDUA PERTANDINGAN MEWARNA




Pada 24 Mac yang lalu, Eiwan telah menyertai pertandingan mewarna sempena Karnival Kokurikulum Akademik Prasekolah Zon Bukit Gambir yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat. Dalam pertandingan itu Eiwan mendapat tempat kedua dan akan mewakili Zon Bukit Gambir ke peringkat daerah yang akan diadakan di SK Seri Bukit Pasir pada 27 Mac. Turut mewakili Zon Bukit Gambir ialah adik Nurin Izzati Mohd Hisham yang mendapat johan dalam pertandingan hafazan kategori perempuan.

24 Mac 2010

ANGAH SERTAI PERLAWANAN BOLA JARING

Isnin 22.3.2010- Perlawanan Bola Jaring Peringkat Daerah telah diadakan di SK Ledang.
SKPK layak hingga ke peringkat suku akhir.
Pasukan bola jaring SKPK.

Angah Dhira (kanan) bersedia untuk menyertai pertandingan bola jaring di Tangkak.

dari kiri : Pn Nor'aini Bt Md Dom(guru pengiring),
Pn Mahani bt Jais dan Pn Nur Anisza bt Md Dali(jurulatih)
dan En Khudhairi B Jais(GPK-KO)

Dipetik dari Blog PSSKPARIT KASAN (terima kasih)

*Balik dari perlawanan itu, Angah Dhira tak sedap badan, muka jadi gelap, mata pulak merah..tanda nak demam la tu..Esoknya memang tak sekolah..demam...

12 Mac 2010

SUKAN SKPK 2010
















Pada Khamis, 11 Mac lalu SK Parit Kasan telah mengadakan Kejohanan Olahraga Kali Ke-13 berlangsung di padang Sekolah Agama Parit Kassan. Along Jieha, Angah Dhira dan Eiwan turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu dan bawak balik pingat..

11 Mac 2010

STORY PERTAMA DI HARIAN METRO


Hari ini, 11 Mac 2010 buat kali pertama story yang aku tulis disiarkan dalam Harian Metro Edisi Johor. Story tu berkaitan dengan kejadian ribut di Serom 5 Hulu dan Serom 8. Selalu aku hantar story kat Berita Harian saja. Semalam Hazrul yang minta story tu, rupa-rupanya hari ni dah disiarkan kat Harian Metro.

10 Mac 2010

COVER KEJADIAN RIBUT DI SEROM




Hari Selasa malam Rabu kira-kira jam 11 malam lepas hujan aku terima panggilan telefon daripada YB Hamim yang mengatakan Kampung Serom 5 dilanda ribut dan dia bersama Pegawai Daerah Ledang, En Amran Abd Rahman dalam perjalanan ke kampung itu untuk meninjau keadaan. Beliau meminta aku datang ke Serom 5 untuk buat liputan. Aku bergegas ke Kg Serom 5 Hulu dan ketika itu pasukan bomba Tangkak sedang memotong pokok yang menimpa talian elektrik dan tumbang ke jalan.

YB Hamim dan DO Ledang meninjau dan menemui mangsa ribut yang terlibat di Kampung Serom 5 Hulu dan Serom 8.

Aku balik dan sampai rumah jam 1 pagi dan terus buat story. Siap story aku emel ke JB dan terus tidur.

Petang Rabu ketika aku rewang dirikan balai aku dapat panggilan hp daripada Hazrul - Harian Metro Muar suruh foward berita yang aku hantar pada dia. Lepas rewang aku pergi opis dan online sekejap hantar emel kat Hazrul.

Sebelah malam En Nazri, boss Harian Metro Johor telefon aku tanya tentang umur sumber yang aku buat story. Aku terlupa nak tanya Cikgu Selamat umur dia sebab dia masih dalam keadaan terkejut ketika itu.

ULANG TAHUN KELAHIRAN EIWAN YANG KE-6






Hari ini 10 Mac 2010 merupakan hari ulang tahun kelahiran Eiwan yang ke-6. Sebelum tiba harinya dah bawak Eiwan makan kat Parit Rabu. Hari ini emak pulak belikan kek.

09 Mac 2010

ALONG DAPAT NAIB JOHAN KARNIVAL SAINS

Rabu 9.3.2010 - Karnival Panitia Sains peringkat Zon Bukit Gambir telah diadakan di SK Serom 8. Sebanyak 18 buah sekolah telah menyertai karnival ini. SKPK telah menghantar seramai 4 orang peserta bagi pertandingan kuiz iaitu Muhammad Ammar B Ali, Muhammad Amir Imran B Yahya, Muhammad Arif B Mohd Nadzeri dan Khairun Najihah Bt Hai Rozzaman.

SKPK telah merangkul Naib Johan dan akan mewakili Zon Bukit Gambir ke peringkat daerah yang akan diadakan di SK Bukit Pasir pada 27.3.2010.
dari kiri : Khairun Najihah, M.Amir, M.Ammar dan M.Arif

DIPETIK DARI BLOG PSS SKPK

04 Mac 2010

MUKA DEPAN BERITA HARIAN EDISI JOHOR


SEJAK JADI PEMBERITA SAMBILAN BERITA HARIAN JOHOR HAMPIR 6 BULAN, HARI INI KALI PERTAMA BERITA YANG AKU TULIS MENDAPAT TEMPAT DI MUKA HADAPAN BERITA HARIAN EDISI JOHOR.

PADA MULANYA AKU BUAT DALAM LAPAN PERENGGAN AJE DAN SUBMIT SEMALAM, TAPI AKU DAPAT SMS DARIPADA BOSS EN SAUFI SURUH TAMBAH LAPAN ATAU SEMBILAN PERENGGAN LAGI DENGAN GAMBAR-GAMBAR BERKAITAN SEBAB DIA BERCADANG NAK BUAT BERITA MUKA DEPAN KELUARAN HARI ESOK. TAPI HARI TU AKU KERJA DAN TAK SEMPAT NAK KEJAR SEBAB SUBJEK TU KAT PAGOH.

EN SAUFI TELEFON BERITAHU KALAU TAK SEMPAT BOLEH TANGGUHKAN UNTUK KELUARAN HARI KHAMIS. AKU HUBUNGI SUMBER BERITA, USTAZ ZAKARIA DAN BUAT TEMUJANJI LEPAS ASAR UNTUK AMBIL GAMBAR KAWASAN PERKUBURAN KAMPUNG RAJA PAGOH.


Aku bersama sumber berita, Ustaz Zakaria Muhamad di hadapan Makam Sultan Alauddin Riayat Shah 1, di Kampung Raja, Pagoh.

Oleh Hai Rozzaman Jalal

bhnews@bharian.com.my


KAWASAN perkuburan tanah wakaf sedang dibersihkan bakal digunakan penduduk Kampung Raja, Pagoh dan sekitarnya.

Perkuburan Islam Kampung Raja makin sempit perlukan kawasan baru

MUAR: Kawasan perkuburan sedia ada yang hampir penuh di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, di sini memaksa pihak pengurusannya mencari alternatif lain bagi mengatasi masalah berkenaan.

Kawasan tanah perkuburan yang mempunyai keluasan kira-kira tiga hektar itu kini memerlukan kawasan baru untuk kegunaan masyarakat Islam sekitarnya berikutan lebih 70 peratus daripada kawasan tanah wakaf itu sudah dipenuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Raja, Pagoh, Azman Hashim

Pengerusi Jawatankuasa tanah wakaf berkenaan, Azman Hashim, 40, berkata kira-kira dua hektar daripada keluasan keseluruhan tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun itu hampir penuh dan memerlukan kawasan baru.


Beliau berkata, tanah perkuburan yang turut menempatkan Makam Sultan Alauddin Riayat Shah 1 itu digunakan oleh masyarakat Islam daripada tujuh kampung rangkaian dan tiga taman perumahan di sekitar Pagoh yang membabitkan kira-kira 1,000 rumah.

Katanya, kariah dari kawasan Kampung Raja, Kampung Tanggul Aur, Kampung Tengah, Kampung Selancar, Kampung Bukit Panjang, Kampung Muda Jaya, Kampung Jayor, Pekan Pagoh, Taman Seri Pagoh dan Rumah Rakyat Pagoh menggunakan tanah perkuburan itu.

MAKAM Sultan Alauddin Riayat Shah 1 berhampiran Masjid Jamek Kampung Raja Pagoh.

“Bagi menyediakan kawasan baru, Jawatankuasa Tanah Wakaf Perkuburan akan menggunakan baki kawasan seluas satu hektar yang perlu dibersihkan dan kerja meratakan tanah sedang dijalankan dan memerlukan kos yang tinggi.

“Kami memerlukan anggaran kos kira-kira RM20,000 bagi melaksanakan kerja pembersihan kawasan tanah wakaf berkenaan termasuk meratakan tanah, membina jalan serta membina sistem perparitan supaya kawasan itu tidak dinaiki air apabila hujan,” katanya kepada Berita Harian, di sini.

Azman berkata, satu kawasan seluas empat hektar sudah disediakan sebagai tapak Tanah Perkuburan Islam Pekan Pagoh berhampiran kampung itu, namun masih belum diwartakan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ) untuk digunakan masyarakat sekitar pekan itu.

Katanya, buat masa ini, semua pengebumian jenazah dilakukan di tanah perkuburan Kampung Raja menyebabkan kawasan berkenaan semakin sempit dan pihak pengurusan mengambil langkah membersihkan kawasan baru bagi menampung kesesakan itu.

“Penubuhan jawatankuasa pengurusan tanah wakaf itu yang digerakkan sejak enam bulan lalu bertujuan untuk menjaga dan membersihkan kawasan perkuburan sedia ada dengan mengecat batu nisan serta meracun rumput liar yang tumbuh di sekitarnya,” katanya.

Bilal Masjid Jamek Kampung Raja, Abdullah Tahir, 73, berkata kerja membersih dan menjaga kawasan perkuburan itu dilaksanakan secara bergotong-royong yang digerakkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Katanya, dulu Makam Sultan Alauddin Riayat Shah 1 berhampiran masjid dijaga oleh seorang tukang kebun yang disediakan oleh JAJ, namun khidmat beliau ditamatkan sejak 15 tahun lalu dan jawatankuasa yang ada mengambil alih menguruskan kawasan bersejarah itu.

“Makam itu sepatutnya di bawah selenggaraan Kerajaan Melaka, namun tiada usaha tertentu yang diambil menyebabkan kami mengambil inisiatif mengecat dan membersihkan kawasan makam itu yang sering dikunjungi pelancong,” katanya.

Bendahari Tanah Wakaf itu, Zakaria Muhamad, berkata pihaknya memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos menyedia dan membersihkan tanah wakaf itu untuk kemudahan masyarakat Islam di kawasan itu pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya sudah memohon peruntukan daripada wakil rakyat kawasan itu untuk membiayai sebahagian kos tersebut namun hingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas.

“Saya turut mengharapkan anak jati kampung itu yang berada di perantauan atau yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing supaya turut memberikan sumbangan bagi melaksanakan kerja kebajikan,” katanya sambil mengharapkan sumbangan disalurkan kepada Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Raja melalui akaun Maybank Berhad 151044123291 demi kebajikan masyarakat Islam kampung itu.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 04 MAC 2010

01 Mac 2010

EIWAN DAPAT HADIAH...

Pagi tadi dalam perhimpunan di sekolah Eiwan dapat hadiah melukis poster Prasekolah 1 sempena sambutan Maulidur Rasul SAW SK Parit Kasan. Seronok betul dia dapat hadiah buku lukisan.