Selatan: 'Berkurung' tak tahan bau busuk
BERITA HARIAN, 23 MAC 2009
Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my
SEBUAH lori dikesan berdekatan tempat pembuangan sampah di Taman Warisan, Jalan Junid, Muar, kelmarin.
MUAR: Akibat tidak tahan menghidu bau busuk timbunan sampah sarap dan sisa pepejal yang dibuang secara terbuka di depan kediaman mereka, 250 penghuni di Taman Warisan, Jalan Junid, di sini terpaksa menghabiskan masa berkurung dalam rumah.
Penduduk daripada 40 keluarga itu yang dibelenggu masalah itu sejak tiga bulan lalu adalah sebahagian daripada penghuni rumah pangsa empat tingkat di belakang kawasan perumahan berkenaan selain di penghujung Jalan Warisan.
Mereka bimbang dijangkiti penyakit berbahaya terutama denggi berikutan sampah sarap yang bertimbun berdekatan rumah kini menjadi tempat pembiakan nyamuk dan lalat.
Tinjauan Berita Harian mendapati terdapat longgokan sampah sarap dan sisa pepejal di bahu jalan sepanjang kira-kira 70 meter berdekatan hutan paya bakau serta mengeluarkan bau busuk yang dapat dihidu sejauh lebih setengah kilometer.
Justeru tidak menghairankan apabila penghuni terpaksa menutup pintu dan tingkap tanpa mengira waktu siang atau malam kerana tidak sanggup menghidu bau yang menyerap masuk ke dalam rumah mereka.
Lebih membahayakan, bahagian bahu jalan yang dijadikan tempat pembuangan sampah sarap secara terbuka itu juga terletak bersebelahan padang permainan kanak-kanak.
Timbunan sampah sarap sering diselongkar anjing liar, termasuk menggonggong bekas plastik sehingga ke tengah padang permainan yang jaraknya hanya kira-kira 10 meter dari tempat pembuangan sampah itu.
Penghuni, Ng Ah Chee, 65, mendakwa sebahagian besar daripada pihak yang membuang sampah di bahu jalan berdekatan dengan rumahnya itu tidak dikenali dan dipercayai dari luar kawasan itu.
Beliau berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu membuang sampah dengan memuatkannya di dalam lori, van, kereta dan motosikal tanpa mengira waktu siang atau malam.
"Saya pernah mengupah pekerja untuk membuang sampah yang dilonggokkan di bahu jalan berdekatan dengan rumah ke kawasan lebih jauh serta memasang papan tanda di sebatang pokok bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah di situ," katanya.
Suri rumah, Tan Eng, 34, berkata selain anjing liar, babi hutan dari kawasan hutan bakau berdekatan turut menyelongkar sampah di situ untuk mencari makanan.
Beliau meminta penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemantauan berterusan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuang sampah di situ.
"Tanpa pemantauan, masalah ini bukan saja tidak akan dapat diselesaikan malah semakin berleluasa, sekali gus menjejaskan kebersihan dan kesihatan penduduk kerana sering dicemari udara kotor," katanya.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Penghuni Taman Warisan, Noor Azam Mohd Arjan, 38, berkata yang paling teruk menghadapi pencemaran ialah penghuni rumah pangsa blok B yang kedudukannya hanya kira-kira 50 meter dari tempat pembuangan sampah itu.
P/S: BAHAN BERITA INI DIKIRIMKAN OLEH SAUDARA NOOR AZAM, SAHABAT WAKJAMAN YANG MEMINTA MASALAH TERSEBUT DISIARKAN DI AKHBAR. WAKJAMAN FOWARD BAHAN TU KEPADA RAKAN WAKJAMAN, SDR JAMALUDIN HUSIN, WARTAWAN SAMBILAN BHARIAN/HMETRO MUAR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan