04 Disember 2009

ABANG AI DI SURATKHABAR...

Aku tumpang gembira bila anak buah aku Mohamed Aizuddin Sulaiman atau aku panggil Abang Ai dapat penghargaan daripada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Razak kat LIMA Langkawi. Abang Ai merupakan anak kepada kakak aku yang tinggal kat Felda Ulu Belitong, Kluang dan sekarang sedang buat latihan di METC.Beritanya keluar kat Utusan Malaysia semalam 3/12 dan Berita Harian hari ini.



‘Tiga pelatih jurutera anak peneroka bertaraf dunia’

LANGKAWI: Tiga anak peneroka Felda yang sedang mengikuti latihan di Pusat Latihan Kejuruteraan Penerbangan Malaysia (METC) di Subang, Selangor, yakin mampu menjadi jurutera penyelenggaraan pesawat bertaraf dunia sebaik tamat kursus dalam masa tiga tahun lagi.

Ketiga-tiga mereka, Mohamed Aizuddin Sulaiman, 21; Mohd Zulzaimy Sungib, 24; dan Muhammad Mujahid Wan Mahassan, 21, yang ditemui sewaktu mengendalikan ruang pameran METC di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sempena Lima 09, berkata jurusan baru yang mencabar bukan penghalang mencipta kejayaan.

Mereka, antara 69 pelatih di pusat berkenaan mahu membuktikan anak peneroka juga boleh berjaya.

Mohamed Aizuddin yang berasal dari Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor, berkata beliau meletak sasaran menjadi jurutera pesawat Boeing 747 atau lebih besar menjelang 2013. “Apa yang saya inginkan selepas tamat kursus nanti adalah memperoleh lesen dan menjadi jurutera penyelenggaraan yang berjaya dan disegani,” katanya.

Mohd Zulzaimy yang berasal dari Felda Palong 9, Negeri Sembilan pula mahu terus mengorak langkah memburu cita-cita walaupun kursus selama lima tahun di METC mencabar. “Terima kasih kepada Felda yang membawa saya ke dunia baru ini,” katanya.

Sementara Muhammad Mujahid berkata, bidang penyelenggaraan pesawat agak mencabar kerana memerlukan penumpuan yang lebih kerana ia rumit dan kesilapan kecil akan menyebabkan pesawat menghadapi masalah.

Anak ketiga daripada 10 beradik itu berkata, bidang ini agak baru di negara ini dan masih belum diberi pendedahan secara menyeluruh tetapi ia jurusan penting bagi melahirkan tenaga mahir di negara ini.

SUMBER: BERITA HARIAN 4 DISEMBER 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan