30 Januari 2010

PROGRAM TEMU SUA WARIS UPSR 2010

Hari ini 30/1/2010 aku hadiri program Temu Sua Waris UPSR 2010. Anak aku, Along Jieha bakal mengambil peperiksaan UPSR tahun ini.

Pengisian program ialah ceramah motivasi oleh Ustaz Zakaria Muhamad, GPI SK Dumpar, Muar yang juga bekas guru SKPK.


Terima kasih Cikgu Ali atas video ini. Blog Cikgu Ali di sini.

Acara lain ialah Ikrar Akujanji calon UPSR dan juga Ikrar oleh ibu bapa. Bacaan ikrar ibu bapa, aku diminta mengetuai bacaannya.

Lepas tu ada pemilihan Jawatankuasa Permuafakatan UPSR. Aku dilantik menjadi Naib Pengerusi jawatankuasa itu. Pengerusi diberikan kepada Ustaz Nazri Abdullah.

29 Januari 2010

MAKAN MALAM BERSAMA PERSATUAN PENIAGA SAWIT MUAR/LEDANG

Aku, Nuek dan Zamri...

Pada 29/1/2010 aku bersama rakan sepejabat hadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Peniaga Kelapa Sawit Daerah Muar/Ledang.

Boss aku merupakan Pengerusi persatuan itu. Kira-kira 40 orang ahli persatuan itu hadir pada majlis itu.

Hadir sama sebagai tetamu ialah Ketua Pejabat MPOB Tangkak, En Abd Rahman Mohamed. Majlis telah diadakan di Rabbit House Sdn Bhd, Jalan Meriam, Muar.

23 Januari 2010

TUANKU IBRAHIM ISMAIL DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN JOHOR

TUNKU Ibrahim Ismail menandatangani watikah pemasyhuran baginda sebagai Sultan Johor di Istana Besar, Johor Bahru, jam 10.21 pagi ini sambil diiringi Tunku Bendahara, Tunku Abdul Majid dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kiri). Gambar (bawah), baginda dilihat mengesat air mata selepas selesai menandatangani watikah itu. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru hari ini.

Pemasyhuran itu, berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar Johor Bahru, 10.21 pagi.

“Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Raja dan Sultan di bawah undang-undang yang sama,” katanya.

Sejurus itu, Tunku Ibrahim Ismail, 51, mengangkat sumpah sebagai Sultan Yang Dipertuan Jajahan Johor Darul Takzim dan segala takluknya.

Baginda mengaku akan memerintah dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa kepada rakyat.

Tunku Ibrahim Ismail, yang berbaju Melayu putih, juga melafazkan sumpah bagi menghormati dan memelihara agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang teguh kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-undang negeri Johor.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Sultanah Zanariah, isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan semua anakanda serta adinda baginda.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadot, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta anggota Exco kerajaan negeri Johor.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim adalah bagi mewarisi takhta Johor selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada jam 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.

Istiadat itu diadakan sebelum pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Petang semalam, Tunku Ibrahim Ismail dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Iskandar dimasukkan ke hospital itu kerana gering.

Tunku Ibrahim Ismail yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Baginda menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim Ismail yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta.

22 Januari 2010

SULTAN JOHOR MANGKAT


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Iskandar Al-Marhum Sultan Ismail mangkat di Hospital Pakar Puteri, jam 7.15 malam tadi.

Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang akhbar, sebentar tadi.

Terdahulu, petang tadi Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dilantik Pemangku Raja.

HUKUM SERTAI FACEBOOK

Zaharuddin Abdul Rahman
(Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
zaharuddin@yahoo.com

SAYA ditanya soalan: “Ustaz, syubhahkah menyertai Facebook? Saya terbaca artikel yang menyatakan pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan Facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?”

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak juga ditulis oleh pelbagai individu di forum juga blog. Dalam menentukan keputusan dan hukum menyertai Facebook, menurut pendapat saya, ada beberapa isu yang perlu diperhati:

1. Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?
Kesimpulannya, dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis sahih berurusan dan membuat transaksi jual beli juga cagaran dengan seorang Yahudi iaitu: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda.” ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841).

2. Apa maksud penyoal dengan ayat 'menyumbang kepada bangsa Yahudi'? Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah SAW dan sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah. Cuma persoalannya adakah ia bermaksud menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis? Sejauh mana kebenaran dakwaan itu? Adakah sebarang bukti jelas atau hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?

3. Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?

Begini, jika ternyata daripada sumber yang sahih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama. Dalam konteks Facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah Facebook tidak menyertakan bukti jelas berkaitan hal itu. Semuanya membuat andaian itu dan ini sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar mengajak kita untuk berhati-hati dan peka. Malah majoriti pengguna Facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat itu kecuali yang menyertai skim ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan).

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum, boleh saya katakan, kajian sudah dibuat dan kami gagal menemui bukti untuk menyokong andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan: “Bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pengurusan Facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap,” maka jawapannya, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama itu. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak ia mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara juga aktiviti lain.

Ini kerana, larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam iaitu yang beragama Hindu, Kristian, Buddha dan sebagainya. Penjual terbabit juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap, akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti jelas. Oleh itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukumnya adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook. Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhah di ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian satu persatu.

4. Hak peribadi pengguna Facebook dijajah?
Ini mungkin ada benarnya, selepas saya menghabiskan bacaan polisi hak peribadi yang terkandung di dalam web Facebook, ia memberi gambaran bahawa gambar, maklumat dan segala yang terkandung di dalam Facebook kita boleh wujud juga di akaun Facebook orang lain yang dikongsi dan saya yakin pihak Facebook juga mempunyai simpanan data terbabit. Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan penggunaan Facebook sebagai haram. Apa yang perlu adalah kawalan dan had

KESIMPULAN
Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut:

1. Hukum membuka akaun dan menggunakan Facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama Facebook sama ada melalui dana kepada Yahudi, Amerika Syarikat dan lainnya.

2. Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latar belakang pengasas dan syarikat Facebook, mereka dinasihatkan TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna Facebook supaya sentiasa berhati-hati namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram.

3. Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan:


a. Memanipulasi akaun Facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b. Hadkan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c. Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi (khususnya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had kerana ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat, kerana ia akan kekal di Facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook itu sendiri.

d. Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e. Tidak terbabit dengan permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

f. Tidak mempercayai tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma Facebook. Sama ada atas dasar 'main-main' atau sebagainya.

g. Menyedari bahawa maklumat kita di Facebook boleh menjadi pangkalan data pihak asing untuk memantau kehidupan dan maklumat peribadi kita jika tidak dikawal. Pangkalan data sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana Facebook. Hatta, parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu terkini sebagaimana Facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan. Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna Facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Jika terdapat unsur syubhah sekalipun, ia diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui Facebook itu.

SUMBER: HARIAN METRO

10 Januari 2010

CERAMAH KELUARGA SAKINAH




Malam ini di Surau 2 Parit Kassan diadakan program ceramah keluarga sakinah yang disampaikan oleh Penggerak Keluarga Sakinah DUN Gambir, Ustaz Mohd Amin Apah. Beliau memberikan kuliah berkaitan dengan pentingnya solat lima waktu.

09 Januari 2010

LATIHAN KOMPANG...

Hari ini orang rumah ajak pergi Giant Muar cari barang katanya. Aku dah bagi tau malam ni ada budak-budak nak buat latihan kompang kat rumah. Aku suruh buat mee goreng je bagi budak-budak kompang makan. Maka berbelanjalah di Giant.

Latihan mula jam 9 lebih. Ramai jugak yang datang, hampir 20 orang. Sambil tu aku bukak facebook dan kawan lama aku ada kat ruang sembang. Dulu masa kat SMK Bukit Gambir satu kelas, aku panggil Bib nama sebenornya Sharifah Habibah tapi bukan keturunan arab. Dia sekarang mengajar di SMK Tun Mamat Tangkak.

Jam 11 malam latihan tamat dan sambil budak-budak tu melayan jamuan, aku bagikan baju batik untuk ahli yang belum dapat baju tu.

Minggu depan diaorang nak buat latihan lagi tapi di rumah ahli yang lain pulak. Bergilir-gilir la.

08 Januari 2010

ULANG TAHUN KELAHIRAN DAN KESILAPAN 12 TAHUN LEPAS.....

Hari ini 8.1.2010 genap usia along Jieha 12 tahun dan wajib membuat mykad. Aku telah berjanji untuk membuat mykad hari ini. Tetapi mykad tak dapat dibuat kerana berlaku kesilapan pada tahun kelahiran. Kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku kerana di dalam surat beranak telah dicetak tahun yang betul tetapi kenapa dalam sistem pangkalan data JPN boleh berlaku kesilapan. Sepatutnya apa yang dicetak sama dengan dalam pangkalan data. Kesilapan 12 tahun lepas hanya dapat disedari hari ini. Mana kecanggihan sistem tersebut. Nasib baik berlaku pada anak aku dan aku terima kesilapan teknikal itu kerana masih ada masa lagi untuk dibetulkan iaitu dalam tempoh 30 hari jika lewat dikenakan denda.

Berikut rentetan peristiwa tersebut:

Satu pagi Jumaat di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Tangkak...

9.00 pagi: Ke SK Parit Kasan ambik along dan terus ke Jabatan Pendaftaran Tangkak..

9.20 pagi: Isi borang dan ambil nombor giliran...

9.30 pagi: Panggilan...proses borang... aku lihat pegawai bertugas membuat panggilan telefon dan aku tak tahu dia menghubungi siapa tetapi borang dan surat beranak along di tangannya. Tak lama kemudian selepas selesai telefon, pegawai tu memberitahu aku...'maaf bang, ada masalah sikit..kat surat beranak tahun lahir anak abang 1998 tapi kat sistem komputer tahun 1997, tapi saya dah call Johor Bahru utk ubah tahun tu, abang duduk dulu nanti saya panggil lagi' .

9.45 pagi: Aku dan along pun duduk sambil menonton tv yang disediakan di hadapan kaunter.

10.11 pagi: Seorang pegawai wanita (mungkin ketua pejabat) memanggil aku..'Encik boleh balik dulu, nanti bila JB dah ok saya hubungi Encik dan encik datang lagi, bagi nombor hp encik...terima kasih...maaf ye encik'

10.15 pagi: balik dengan hampa..dah la cuti kerja, along pun tak dapat belajar..

04 Januari 2010

SESI PERSEKOLAHAN 2010 BERMULA..

Along, angah dan eiwan bersiap untuk ke sekolah

Hari ini 4 Januari 2010 sesi persekolahan telah bermula. Along belajar di Tahun 6 dan tahun ini bakal mengambil peperiksaan UPSR manakala di sekolah agama pula Sijil Darjah Enam Agama (SDEA).

Angah pula naik Tahun 5 dan di sekolah agama bakal mengambil Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).

Adik Eiwan pula masuk Prasekolah 6 tahun manakala sebelah petang pula masuk Tadika Agama Johor (TAJ) nampaknya tak dapat tengok cerita kartun la, sekolah satu hari suntuk. Prasekolah balik jam 11.30 pagi, TAJ pulak jam 6.00 petang.

01 Januari 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010...


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010
KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA


DARIPADA
WAKJAMAN SEKELUARGA