28 Januari 2009

CUCU & GUNUNG LAMBAK ECO RESORT



Hari ini, 27/1/09 aku sekeluarga tidur kat rumah kakakku, Jasimah di Felda Ulu Belitong, Kluang. Dia baru dapat cucu sulung perempuan, anak pasangan Kamarul dan Baizura. Nama cucunya, Nur Syifa Umairah. Sedap namanya tu. Ini bermakna aku pun dah kena panggil dengan gelaran 'ATUK'. Dah ada cucu juga aku ni.

Pagi ni, anak-anakku, Jieha, Dhira dan Eiwan ajak pergi Gunung Lambak Eco Resort, nak mandi kat Water Park. Bayaran masuk RM5 untuk dewasa manakala RM3 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Seronok sungguh mereka mandi-manda. Sampai tak sedar jam dah pukul 12 lebih.

Lepas dari Gunung Lambak, balik semula ke Ulu Belitong, makan tengah hari, lapar. Lepas makan, tidur kejap. Lepas siap-siap kira-kira jam 4 petang bertolak balik.

Sampai Bukit Gambir pukul 6 lebih, singgah kat warong Kak Ton sebelah Petronas. Tengah nak makan, adikku, CT telefon beritahu ada xciden kat selekoh maut kat kampung. Lepas makan aku balik dah singgah kat tempat kejadian. Seorang pemuda India dah meninggal, mayatnya dah ditutup plastik hitam menunggu landrover polis datang. Aku ambil beberapa shoot gambar untuk hantar kat Harian Metro dan Utusan Malaysia. Sebelum tu aku dah sms kat wartawan akhbar tu. Malam aku emel gambar yang aku ambil kat diaorang.

27 Januari 2009

PENUNGGANG MOTORSIKAL TERBUNUH, PEMBONCENG PATAH KAKI

Mayat mangsa (ditutup plastik hitam) menunggu pihak polis sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Orang ramai melihat kemalangan tersebut di selekoh Jalan Sagil - Bukit Gambir dekat Kampung Parit Kassan. (Gambar AdiSabariman:iNFOLEDANG)

LEDANG: Seorang penunggang motorsikal terbunuh manakala pemboncengnya patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini kira-kira jam 6 petang tadi.

Mangsa (identiti masih tidak diketahui), seorang pemuda India berasal dari Bukit Pasir, Muar, dalam perjalanan pulang dari pusat perkelahan Gunung Ledang bersama tiga lagi rakannya dengan menaiki dua buah motorsikal.

Menurut rakan mangsa, dia terlajak ke jalan Parit Rabu ketika tiba di simpang tiga berhampiran Sekolah Agama Parit Kassan manakala mangsa dan pemboncengnya membelok ke kiri ke arah Bukit Gambir.

Selepas menyedari tersalah jalan, beliau berpatah balik dan apabila tiba di selekoh mendapati dua rakannya terbabit kemalangan.

Motorsikal yang dipandu mangsa tidak dapat dikawal lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera teruk di kepala dan muka.

Beliau cuba diselamatkan oleh penduduk kampung tetapi meninggal dunia di tempat kejadian mankala rakan mangsa yang membonceng motorsikal tersebut patah kaki dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Kassan, Mohd Hamzah Basar menasihati pemandu kenderaan yang melalui Jalan Sagil ke Bukit Gambir terutama berhampiran selekoh tersebut supaya berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka.

Menurutnya, beberapa kemalangan kerap berlaku di selekoh tersebut terutama bagi pemandu yang pertama kali melalui jalan tersebut dari arah Sagil, apabila kenderaan dipandu laju dan tiba di selekoh tersebut tidak dapat mengawalnya lalu terbabas.-iNFOLEDANG

TAHUN BARU CINA, PENGANTIN DAN CUCU...


Kesesakan yang berlaku pada hari pertama Tahun Baru Cina di jalan dari Air Hitam menghala Kluang.

Hari ini, 26 Januari 2009, opis tutup kerana menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai untuk rakan Tionghua.

Petang, jam 2.30 aku dan keluarga pergi jemputan tempat Wak Haji Yusof Sawabi kat Parit Haji Idris. Hari tu, 24hb mengarak kat tempat Haji Md Shah Parit Jarum Laut, semalam, 25hb pulak kat tempat Acom Hj Rosman Parit Jarum Darat, kemudian jemputan tempat Haji Md Yat Parit Jarum Laut dan tempat Haji Ismail Simpang 5 Darat.

Hari ni, lepas jemputan, aku dan keluarga serta emak, adik dan Gapur pergi ke Felda Ulu Belitong, Kluang ke rumah kakak, dapat cucu sulung, perempuan. Kiranya aku pun dah dipanggil ATUK, mak pula dah dapat cicit.

Aku melalui tol Pagoh dan keluar tol Air Hitam. Dalam perjalanan menuju ke Kluang, jalan menghala ke bandar Kluang berhampiran Institut Pertanian Air Hitam, sesak teruk, rasa-rasa lebih 3 km kenderaan berbaris panjang, 2 line, merangkak-rangkak geraknya. Kenderaan menghala Air Hitam laju pulak tak jem!

Dalam hati, ada kemalangan ke kat depan. Aku keluarkan 'senjata' aku, Canon PowerShot S5IS dan zoom ke depan. Dapatla tengok kat depan, ada polis buat sekatan jalan raya. Dah hampir tempat sekatan tu, kenderaan jadi satu line. Polis yang jalankan tugas arahkan bergerak, tak ada apapun yang diperiksa...punyalah jenuh berbaris panjang. Lagi sakit hati bila kita dah baris panjang ada sebuah Avanza cilok depan kereta aku. Geram betul masa tu.

Tiba di Felda Ulu Belitong jam 5.40 petang....rehat.

26 Januari 2009

GERHANA MATAHARI

Pada 26 Januari 2009 ini, dunia akan menyaksikan sebuah lagi fenomena gerhana matahari, iaitu Gerhana Matahari Annular atau Gerhana Matahari Cincin.

Pada ketika berlakunya ijtimak di antara Bulan dan Matahari, Bulan akan bergerak betul-betul di hadapan Matahari, lalu mengakibatkan cahaya matahari dihalang daripada sampai ke sesebuah kawasan di Bumi.

Di dalam kes 26 Januari, ia dipanggil Gerhana Matahari Cincin kerana pada ketika itu, saiz bulatan Bulan kelihatan kecil sedikit berbanding saiz bulatan Matahari. Pada waktu puncak gerhana, Bulan akan berada di tengah-tengah, manakala saki baki bulatan matahari akan kelihatan di sekeliling Bulan membentuk seolah-olah sebuah cincin.

Di Malaysia, kita hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa sahaja, iaitu hanya sebahagian matahari sahaja yang akan terlindung oleh Bulan.
Di Kuala Lumpur, permulaan gerhana adalah pada jam 4.31 petang, di mana ketika itu, Matahari akan mula kelihatan 'sompek' sedikit kerana Bulan sudah mula melindunginya.

Puncak gerhana berlaku pada jam 5.50 petang, di mana 72% matahari akan dilindungi Bulan.

Kemudian Bulan akan perlahan-lahan keluar daripada laluan Matahari dan gerhana pun akan tamat pada jam 6.58 petang.

Secara umumnya, suasana tidak akan kelihatan gelap seperti Gerhana Penuh, tetapi kita mungkin akan dapat merasa keadaan seperti redup sedikit, walaupun ketika itu Matahari kelihatan seperti memancar macam biasa di langit.

Kali terakhir rakyat Malaysia menikmati suasana Gerhana Matahari ialah pada tahun 1998, iaitu pada 22 Ogos di mana pada ketika itu, Gerhana Matahari Cincin telah berlaku di tanahair kita.

MARI KITA SAMA-SAMA SOLAT SUNAT GERHANA PETANG INI, 26 JANUARI 2009

SUMBER:http://dunsgabong.blogspot.com/2009/01/gerhana-matahari-separa-di-malaysia.html

21 Januari 2009

PROGRAM PENGAMALAN SAKINAH 2008

26 DISEMBER 2008 yang lalu Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim Daerah Muar dan JKKK Parit Kassan telah menganjurkan Program Pengamalan Sakinah di Surau Dua Parit Kassan.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Zakaria Muhammad dan Penggerak Keluarga Sakinah YPKDT Muar.

Program hari itu menjelaskan tentang kaedah Mencukur Rambut Bayi dan Penyerahan Taklif.
Sambutan masyarakat kampung amat menggalakkan.

20 Januari 2009

WAK HAJI SEMAN MENINGGAL DUNIA

Allahyarham Wak Haji Seman (kiri) ketika penggambaran persembahan kempling untuk program TV1.

19 Januari 2009. Hari ini, Wak Haji Seman (Hj Osman Sari) meninggal dunia di Hospital Muar.

Pagi tadi aku dapat berita Wak Haji Seman dah kembali ke rahmatullah. Inalillahiwainalilahirajiun.

Ini bermakna Perkumpulan Kempling Parit Kassan telah kehilangan seorang lagi ahlinya....Takziah daripada semua ahli kumpulan kempling.

Al-Fatihah sahaja yang dapat aku titipkan, moga rohnya dirahmati Allah.

17 Januari 2009

LORI MJSB DIHEMPAP POKOK KELAPA SAWIT


Hari tu, lori kelapa sawit MJSB, dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang di kebun Hj Rahim Dol kat Sengkang. Habis ranap kepala lori tu. Ketika kejadian drebar lori tu, Nuar @ Cocot sedang menyusun buah sawit kat atas lori. Nasib baik masih menyebelahi derebar tu, kalau masa pokok tu tumbang drebar tu dalam lori, tak tahu la apa nasibnya. Gambar lori tu AKU anto kat I-Metro, dah keluar pun gambarnya kat Harian Metro hari ini.

16 Januari 2009

MOHD JANIS SDN BHD TERIMA ANUGERAH MPOB 2007

SYARIKAT Mohd Janis Sdn Bhd pembeli buah kelapa sawit di Bukit Gambir, Ledang tempat aku bekerja telah mendapat pengiktirafan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) apabila menjadi calon bagi menerima Anugerah Industri Sawit 2007 kategori Peniaga Buah Sawit Seluruh Malaysia yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Senator A Kohilan Pillai kepada Pengarah Urusan MJSB, Haji Mohd Janis Abu Bakar di Kota Kinabalu pada 15 Disember 2008 lalu.

15 Januari 2009

LAGI FOTO DI KOTA KINABALU SABAH

Aku dalam kereta bersiar-siar melihat sekitar Kota Kinabalu.

Mercu tanda di Bandar Kota Kinabalu, seekor ikan todak...

Bergambar sebelum berlepas pulang di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

FOTO DI KOTA KINABALU SABAH

Aku bersama anak-anak Wak Ngah, Sofia dan Fatimah di Hotel.

FOTO DI KOTA KINABALU SABAH

Boss sedang menerima Anugerah MPOB daripada Senator Kohillan.

Tempat berlangsungnya majlis penyampaian anugerah MPOB.

Keluarga Abang Rosli aka Wak Ngah 'berkampung' di Hotel Imperial Kota Kinabalu.

PERGI KOTA KINABALU SABAH BERSAMA BOSS..

Aku kat dalam kapal terbang.

Boss dan Mr Teo ketika menunggu untuk masuk ke kapal terbang di Senai.

Mr Teo dan Bos sedang menikmati makan malam, menu ikan bakar dan udang bakar di KK.

14 DISEMBER 2008 yang lalu aku bersama boss, Haji Mohd Janis dan Mr Teo berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah melalui Senai.

Kami naik penerbangan AirAsia, berlepas jam 6 petang dan tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu jam 8.30 malam. Kami terpaksa tinggalkan majlis perkahwinan Kutip yang sedang berlangsung ketika itu.

Tiba di KK, abang Rosli aka abang Bero menjemput kami bertiga dan dibawa ke hotel penginapan. Abang Wakjaman tu dah datang dari Lahad Datu sejak hari Khamis bersama keluarganya sebab ada urusan imigresen. Kebetulan aku nak datang ke KK, dia pun nak titipkan anak sulungnya Gapur balik ke Semenanjung.

Aku ke KK kerana menemankan boss yang akan mengambil Anugerah Industri Sawit 2007 anjuran MPOB yang diadakan di Magelan Sutera Resort pada 15 Disember.

Malam tu, kami berlima makan ikan bakar, udang bakar dan sotong bakar di gerai tepi laut kat Bandar KK.

Esoknya, 15 Disember, pagi-pagi lagi aku dan bos telah dihantar oleh abang ke Magelan Sutera tempat majlis berlangsung.

Pada majlis itu, boss telah menerima Anugerah bagi kategori Peniaga Buah Sawit Seluruh Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Senator Kohillan Pillai.

Selesai majlis, abang menjemput kami dan balik ke hotel. Boss dan Teo rehat kat hotel. Aku dan abang pergi berjalan-jalan di sekitar KK. Puas juga melihat persekitaran KK yang pertama kali aku jejaki ini. Aku juga dibawa ke kampus Universiti Malaysia Sabah.

Selesai pusing-pusing sekitar KK aku balik ke hotel. Lepas tu kami turun lagi ke Pasar Ikan Masin dan Pasar Kraftangan untuk membeli-belah buat ole-ole balik ke Semenanjung. Kami beli udang kering, bilis, ikan terubuk, amplang dan gelang kristal. Selesai membeli-belah balik semula ke hotel dan bersiap-siap untuk check-out jam 6 petang.

Setelah selesai berkemas, kami bertolak ke Lapangan Terbang KK, penerbangan ke Senai jam 8.30 malam. Kali ini kami berempat sebab anak buah Wakjaman, Gapur ikut balik ke Johor. Dia baru lepas ambil SPM. Cuti tinggal kat kampung.

Kami tiba di Senai kira-kira jam 11 malam. Penerbangan malam tu dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. Tawakal ajela..
Tak tahu bila nak terbang lagi ke Sabah. Penghujung tahun 2007 lalu Wakjaman sekeluarga dah pergi ke Lahad Datu tempat abang kerja di Felda Sahabat 45, Kg Jeragan, Bandar Cenderawasih sambil jemput emak untuk balik ke Semenanjung.

Seronok jugak dapat melancong walaupun sehari semalam...



13 Januari 2009

SUARAKU DI MELAKA FM


Cerita tahun lepas.....HARI ini 26 November 2008, Wakjaman pergi ke Kundang Ulu menghadiri perjumpaan dengan pengurusan KPR Kundang Ulu Berhad sebagai wakil kepada Boss Wakjaman yang tidak dapat pergi atas urusan lain.
Selepas selesai perjumpaan tersebut, Wakjaman balik dan singgah di kedai komputer Mountain Net Bukit Gambir untuk mengambil monitor komputer yang rosak yang telah siap dibaiki. Ketika dalam kereta, kira-kira jam 5.30 petang, handphone Wakjaman berbunyi, tengok nombor yang dipaparkan tak diketahui kerana tiada dalam simpanan Wakjaman. Pemanggil tersebut memberi salam dan memperkenalkan diri. "Assalamualaikum, Wakjaman, saya DJ Rinn dari Melaka FM,". Terkejut juga Wakjaman kerana dapat panggilan dari Melaka FM, apahal pulak. Dia kata sekejap lagi Wakjaman akan on-air kat Melaka FM dalam 50 saat lagi. Wakjaman tanya nak buat apa. DJ Rinn kata Wakjaman diberi peluang untuk menyampaikan ucapan kepada sesiapa sahaja dalam rancangan Salam 60-an. Tiba saat yang dinantikan, DJ Rinn mengumumkan "Sekarang kita bersama seorang Teman MelakaFM yang bertuah hari ini, Wakjaman dari Bukit Gambir". Ketika siaran itu ke udara, isteri Wakjaman, Wak Ipah, anak-anak, Jieha, Dhira dan Eiwan ada mendengar di dalam kereta Kancil Wakjaman, masa tu Wakjaman guna kereta anak Boss Wakjaman. DJ Rinn bertanya khabar dan lokasi Wakjaman berada dan memberikan peluang kepada Wakjaman menyampaikan ucapan kepada sesiapa sahaja. "Ucapan ini ditujukan kepada isteri tersayang, Hanipah Umar yang menyambut ulangtahun kelahiran semalam (25/11/08), anak-anak, Najihah, Nadhirah dan Muhammad Ikhwanuddin, warga Kampung Parit Kassan serta semua Teman Melaka FM yang berada di mana sahaja," itu ucapan yang Wakjaman keudarakan di corong Melaka FM. Selesai ucapan DJ Rinn mengucapkan terima kasih. Bagi Wakjaman hari itu memang bertuah kerana suara Wakjaman berkumandang di ruang udara Melaka FM dan boleh didengar oleh pendengar di sekitar Melaka, Muar, Tangkak, Segamat, dan Negeri Sembilan. Selepas suara Wakjaman berkumandang, satu mesej sms Wakjaman terima, "Tahniah Wakjaman" daripada kawan Wakjaman, Misran KS dari Sagil Parit 3. Terima kasih DJ Rinn kerana memilih Wakjaman untuk on-air dalam rancangan Salam 60-an.

10 Januari 2009

RAI ULANG TAHUN JIEHA DI SABAK AWOR

HARI INI, 9 JANUARI 2009, Wakjaman sekeluarga pergi Medan Ikan Bakar Sabak Awor, Muar kerana menunaikan janji untuk raikan ulang tahun kelahiran Jieha yang ke-11.

Wakjaman ajak sekali, Nenek, Acik Ct, Acik Bahrin dan Abang Gapur. Tak ketinggalan Abah Tok, Atuk Ami, Maman Jam dan Maman Rie. Cik Kah tak dapat le...nak ajak macam mana, kena balik naik AirAsia la...Kuching-JB.

Lepas beli kek kat Puncak Kasih, Bukit Gambir terus pergi Sabak Awor.

Sampai Sabak Awor, pergi gerai No. 10, Wak Man. Oder apa yang nak dimakan, dah makan, potong kek, dah siap semua apa lagi, dah kenyang balik la....

kopak juga RM200 lebih....tak apa la sekali-sekali untuk anak-anak.

09 Januari 2009

ULANG TAHUN KELAHIRAN JIEHA

Hari ini, 8 Januari 2009 merupakan hari ulang tahun kelahiran Along Jieha yang ke-11.
Ayah dan Emak ucapkan Selamat Ulang Tahun Ke-11, semoga Along terus menjalankan kehidupan dengan lebih baik dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai harapan Ayah dan Emak serta keluarga.

08 Januari 2009

RUTINKU BERMULA....

Eiwan, Dhira dan Jieha bersiap untuk ke sekolah.

Kelmarin, 5 Januari 2009, ketiga-tiga anakku telah mula bersekolah. Along Jieha dah masuk Tahun 5, Angah Dhira pula Tahun 4, Adik Eiwan masuk Prasekolah 5 Tahun.

Jadi rutin harian aku telah bermula. Sebelum pukul 7, hantar anak-anak ke sekolah. Pukul 8 lebih pergi Simpang 5 Pekan ambil suratkhabar. Adik Eiwan balik sekolah jam 11.00 pagi, emaknya yang jemput. Jam 1.05 petang aku pulak jemput Along Jieha dan Angah Dhira balik sekolah. Sebelah petang pulak hantar mereka sekolah agama, sebelum pukul 3.30 petang, balik jemput jam 6.30 petang.

07 Januari 2009

::Sesuatu::Yang::Perlu::Diketahui::

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

HARI ini sempena dengan Hari Asyura iaitu tanggal 10 Muharam 1430H bersamaan 7 Januari 2009, juga sempena MAAL HIJRAH dan TAHUN BARU, WAKJAMAN membuka satu blog baru yang diberi tajuk "Sesuatu Yang Perlu Diketahui".

Berdasarkan tajuk atau jodol blog ini, sudah pasti ia bakal memuatkan apa sahaja catatan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian WAKJAMAN atau persekitarannya.

Selamat datang dan selamat melayari serta menikmati persembahan daripada Sesuatu Yang Perlu Diketahui.

Terima kasih.