23 Mei 2009

AADK DIMINTA UJI AIR KENCING KAKITANGAN KERAJAAN


JOHOR BAHRU: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor bimbang dengan kakitangan kerajaan yang menghadapi tekanan hidup menyebabkan ada antara mereka terbabit dalam penagihan dadah sehingga menjadi penagih tegar.


Pengarahnya, Sidek Jaffar, berkata apabila sudah menjadi penagih, kakitangan awam berkenaan akan hilang tumpuan ketika bekerja sehingga prestasi terjejas teruk dan akhirnya terpaksa dibuang kerja.


Beliau berkata, kebelakangan ini, AADK menerima permintaan daripada beberapa jabatan kerajaan supaya menjalankan pemeriksaan ujian air kencing bagi mengenal pasti sama ada kakitangan mereka bebas daripada gejala penagihan dadah atau sebaliknya.

"Tindakan itu dilakukan kerana terdapat kes kakitangan awam terjebak dalam penagihan dadah dan dikhuatiri bilangannya meningkat.

"Dalam pemeriksaan secara berkala sehingga kini, memang terdapat ujian air kencing sebilangan kakitangan awam positif dadah dan perkara itu amat mendukacitakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Seminar Perdana Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) di sini, kelmarin.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai.

Sementara itu, Dr Robia berkata, Johor Bahru mencatatkan bilangan kes penagihan dadah paling tinggi berbanding daerah lain di negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak 566 kes dikesan di daerah itu pada tahun lalu, diikuti 199 kes di Batu Pahat dan 172 kes di Kluang.

"Bagaimanapun, jumlah keseluruhan di negeri ini didapati menurun daripada 2,004 kes pada 2007 kepada 1,512 kes pada tahun lalu.

"Kes yang dimaksudkan termasuk penagih baru. Mereka ditempatkan di pusat serenti, diberi pengawasan dan pelbagai langkah dilakukan bagi memastikan mereka mampu pulang ke pangkal jalan," katanya.


SUMBER: BERITA HARIAN, 23 MEI 2009


P.S.: Seramai 35 orang wakil dari daerah Ledang turut serta dalam Seminar tersebut. Mukim Grisek diwakili oleh 5 orang daripada JKKK Parit Kassan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan