11 April 2009

PAK MATLOB: PEJUANG TULISAN JAWI

MATLOB
(Muhammad @ Mokhtar bin Talib)

LAHIR : 5 Julai 1937, di Kampung Laut Semerah, Batu Pahat, Johor.
ALAMAT :L 117 Pekan Semerah, 83600 Semerah, Batu Pahat, Johor Darul Takzim.


MATLOB, sebuah nama yang cukup dikenali dalam kesusasteraan kanak-kanak dan remaja.  Berasal dari keluarga nelayan dan merupakan anak sulung kepada Talib bin Tandang, seorang guru mengaji al-Quran dan Mariam binti Hj. Ahmad.  Matlob dalam bahasa Arab bermaksud "yang dikehendaki" iaitu gelaran yang diberikan oleh guru agamanya.  Nama inilah diabadikannya sebagai nama samarannya sejak mula bergiat dalam bidang penulisan.


Matlob mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lubuk, Batu Pahat (1946 – 1949) sehingga tamat darjah V.  Pada tahun 1950, beliau belajar dalam darjah VI di Sekolah Melayu Pintas Puding, Batu Pahat.  Beliau menjadi guru pelatih semasa berumur 15 tahun di Sekolah Melayu Seri Benut, Johor (1952 – 1953).


Didikan awal yang diterimanya di sekolah telah menyuburkan minatnya dalam bidang penulisan.  Beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC), Tanjung Malim (1954–1956).  Di sini, beliau mendapat rangsangan daripada Master of Method, Aminuddin Baki, agar menyelidik dan menghasilkan karya untuk kanak-kanak Melayu yang kebetulan pada waktu itu masih terlalu kurang.


Matlob terpilih untuk mengikuti kursus tambahan di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (Mei 1962 – Mei 1963).  Beliau terus berusaha gigih untuk meningkatkan kelayakan akademiknya dan melalui pembelajaran secara sendiri, beliau lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1965.


Seterusnya, Matlob menjadi munsyi di Sekolah Convent Batu Pahat, Penolong Kanan Sekolah Menengah Semerah dan menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Penghulu Salleh, Sekolah Kebangsaan Seri Comel, Sekolah Kebangsaan Parit Sulong dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Persenian.


Karya pertama Matlob tersiar dalam Utusan Kanak-kanak dan Tunas pada tahun 1953 dan meneruskannya kreativitinya selepas tamat  belajar dari SITC.  Tulisannya dalam bentuk rencana  yang menggarap pelbagai bidang terutama pendidikan, kesusasteraan, kebudayaan dan sosial, tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah tanah air.  Beliau juga menulis skrip drama pentas, iaitu  "Mekarlah Mawar–Mekarlah Harapan" dipentaskan di Panggung Cathay Muar pada 28 Mei 1965, "Batu Belah Batu Bersemah", iaitu tablo yang membabitkan 252 orang pelakon pada 5 Jun 1975, Istiadat Bersanding Johor untuk Pesta Permainan Tradisional ke-6 pada 6 November 1976. Beliau menghasilkan lebih daripada 30 buah cerpen dan 360 buah buku.


Beliau turut memimpin ruangan "Mari Berfikir" dalam Utusan Kanak-kanak (Januari 1959 – 1961), "Taman Kanak-kanak" dan "Ruangan Pelajar" dalam  Mingguan Malaysia (1965 – 1967), "Taman Sains" dalam Utusan Pelajar (1971 – 1984), "Mingguan Pelajar" dan "Gedung Ilmu" dalam Berita Minggu (1984 – 1988), "Ruangan Pembaca Muda" dalam Utusan Melayu (1989 – 1990) dan beliau juga merupakan mantan Ketua Unit Pendidikan Jawi dalam Utusan Melayu (1993 – 1997).  Pada bulan Mei 2001 hingga sekarang, Matlob menulis ruangan "Pintar Jawi" dalam Berita Minggu.


Selain itu, beliau juga mengetuai Persatuan Peminat Bahasa dan Penulis Muar (PPPBPM) bersama Salleh Kasmin (Salmin) dan menganggotai Persatuan Penulis Johor (PPJ).  Beliau telah dipilih oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) untuk membentangkan kertas kerja dalam Seminar Wilayah Unesco mengenai Planning, Production and Distribution of Books for Children and Young People in Asia bertajuk "Books for Children and The Young Ones" di Kuala Lumpur pada Disember 1975.


Matlob masih lagi aktif dalam bidang penulisan meskipun telah lama bersara daripada kerjaya perguruan.  Beliau juga meneruskan usaha memperjuangkan kepentingan dan keperluan tulisan jawi dengan menganjurkan seminar atau bengkel jawi di mana sahaja tenaganya diperlukan.


SUMBER:http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=903&IID=


Tiada ulasan:

Catat Ulasan