30 April 2009

SILAP EJAAN JEJAS USAHA MARTABAT TULISAN JAWI

Oleh Mustapha Ismail
bhnews@bharian.com.my

Kesalahan di papan tanda, bangunan papar sikap sambil lewa

BATU PAHAT: Kegagalan pihak tertentu mematuhi sistem ejaan atau tata bahasa ditetapkan boleh mengeliru serta merencatkan usaha memartabatkan sesuatu bahasa.

Malah, kesalahan berkaitan yang dapat dilihat dan diguna pada tanda nama jalan atau bangunan jelas menunjukkan sikap tidak peka dan sikap acuh tak acuh mereka terhadap usaha berkenaan.

Sebenarnya, masalah berkenaan boleh diatasi dan diselesaikan dengan mudah, jika pihak yang berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) atau jabatan dan agensi kerajaan lain, bersungguh-sungguh mengelak melakukan kesilapan `memalukan' itu.

Penggiat tulisan jawi, Mohamad @ Mokhtar Talib, mendakwa tulisan jawi yang ada pada beberapa papan tanda nama jalan serta beberapa bangunan di sekitar bandar ini, menggunakan sistem ejaan dan bentuk khat tidak betul.

"Kesilapan mengeja nama tempat, bangunan atau jalan oleh pihak terbabit boleh diatasi, jika mereka terlebih dulu merujuk sebarang keraguan berkaitan sistem ejaan atau tata bahasa dengan pakar berkaitan.

"Selain kesilapan ejaan, saya dapati bentuk tulisan atau khat digunakan pihak terbabit pada tanda nama jalan, bangunan atau tempat, juga tidak ada di dalam senarai bentuk khat atau tulisan jawi sedia ada," katanya.

Mohamad yang popular dengan panggilan Matlob, berkata masalah itu boleh dielakkan jika pihak terbabit merujuk perkara itu terlebih dulu kepada Buku Daftar Tulisan Jawi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin tidak semua jabatan atau agensi kerajaan memiliki buku daftar berkenaan bagi membolehkan mereka membuat rujukan.

Katanya, tulisan jawi mempunyai sistem ejaan tersendiri dan ia tidak boleh disamakan seperti digunakan ketika mengeja dalam rumi.

Sebagai contoh, Matlob berkata, cara mengeja perkataan 'ada' mengikut sistem ejaan jawi yang betul ialah 'alif' 'dal' dan bukannya 'alif' 'dal' 'alif' seperti jika cuba dieja mengikut sistem ejaan rumi.

"Bagi mereka yang tidak arif atau kurang arif mengenai sistem ejaan jawi, akan mengatakan perkataan 'ada' yang dieja menggunakan sistem ejaan rumi 'alif' 'dal' 'alif' itu, betul.

"Hakikatnya, perkataan berkenaan yang dieja 'alif' 'dal' 'alif' menggunakan sistem ejaan rumi itu tidak akan berbunyi 'ada', tetapi sebaliknya menjadi 'adaa',” katanya.

Matlob berkata, masalah sama dapat dilihat dengan jelas pada perkataan 'intan' dalam tulisan jawi yang diguna pada nama bangunan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di bandar ini.

Katanya, perkataan itu sepatutnya dieja 'alif' 'ya' 'nun' 'ta' 'nun' dan bukan 'alif' 'ya' 'nun' 'ta' 'alif' 'nun' seperti yang tertera pada bangunan itu, yang membawa bunyi 'intana'.

Beliau berkata, bentuk khat diguna pada nama bangunan berkenaan juga janggal dan beliau yakin bentuk digunakan itu tiada dalam senarai bentuk tulisan khat.

"Apa salahnya, jika mereka yang diberi atau mendapat tanggungjawab membuat tanda nama bangunan berkenaan mengeluarkan perbelanjaan tambahan mendapatkan khidmat pakar tulisan khat.

"Di negeri ini, kita mempunyai seramai 36 orang yang pakar dalam tulisan khat dan mereka bersedia membantu, pada bila-bila masa. Bagaimanapun, kerana terlalu mahu berjimat, hasilnya amat memalukan dan ia boleh memberi imej buruk pada pihak terbabit.

"Justeru, jabatan serta agensi kerajaan, termasuk PBT perlu lebih peka dan berhati-hati, jika mahu menggunakan tulisan jawi pada papan tanda nama bangunan atau jalan di tempat masing-masing," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 29 APRIL 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan