19 Julai 2009

PAK MATLOB TERIMA HADIAH KARYAWAN SASTERA JOHOR


ABDUL Ghani Othman menyampaikan Hadiah Karyawan Sastera Johor kepada Mohammad @ Mokhtar Talib di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 18 Julai - Tokoh pejuang tulisan jawi dan sastera kanak-kanak, Mohammad @ Mokhtar Talib, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob dipilih sebagai penerima Hadiah Karyawan Sastera Johor pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ta'zim Ketujuh di sini semalam.

Anak kelahiran Semerah, Batu Pahat itu dipilih menerima anugerah tertinggi pada majlis tersebut berikutan sumbangan penulisannya yang berjaya mengharumkan nama negeri ini di peringkat nasional dan antarabangsa.

Anugerah itu yang melayakkan beliau menerima wang tunai RM7,000 disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Hadiah Sastera Darul Ta'zim diwujudkan sejak 1996 sebagai penghargaan kepada para penulis di negeri ini atas sumbangan mereka dalam mengembangkan bidang sastera dan bahasa.

Anugerah dwitahunan itu dianjurkan oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor dan mendapat kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Pak Matlob yang juga bekas Pengarang Pendidikan Utusan Melayu (1993-1998) telah menghasilkan 400 buah buku dalam pelbagai bidang, kebanyakannya dalam penulisan jawi dan sastera kanak-kanak.

Pada tahun lalu, UMNO telah memilih beliau untuk menerima Anugerah Melayu Cemerlang manakala di peringkat negeri, Pak Matlob dipilih menerima Anugerah Tokoh Pejuang Jawi daripada Persatuan Penulis Johor sempena Bulan Bahasa dan Sastera negeri.

Beliau juga telah dipilih membentangkan kertas kerja bertajuk Perancangan, Penghasilan dan Pengedaran Buku-Buku Untuk Kanak-kanak dan Orang Muda di Asia pada seminar Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 1975.

Dalam bidang penulisan jawi, Pak Matlob banyak memberi sumbangan berharga kepada akhbar dan majalah, antaranya beliau pernah mengelolakan ruangan Pandai Jawi dan Belajar Jawi di Utusan Malaysia.

Beliau juga dilantik sebagai kolumnis ruangan Warisan Bangsa di majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sumbangan beliau dalam sastera kanak-kanak juga dapat dilihat dengan jelas menerusi penulisannya di pelbagai akhbar di negara ini antaranya di Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Utusan Zaman.

Pak Matlob dilahirkan pada 5 Julai 1937 dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun.

Beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 19 JULAI 2009


TAHNIAH KEPADA PAK MATLOB KERANA DIBERI PENGIKTIRAFAN PADA MAJLIS ANUGERAH SASTERA DARUL TAKZIM DENGAN MENERIMA HADIAH KARYAWAN SASTERA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan