
DARIPADA WAKJAMAN SEKELUARGA
Ditulis oleh Hai Rozzaman Jalal |
Jumaat, 21 Ogos 2009 00:00 | 6 hits |
![]() BERGAYA...Kumpulan zapin Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat, Bukit Gambir sedang mempersembahkan tarian. LEDANG : Atas keinginan menyebarkan warisan budaya Johor, sekumpulan tiga orang guru dari Sekolah Kebangsaan Simpang Lima Darat menubuhkan kumpulan zapin yang dianggotai oleh pelajar sekolahnya. Kumpulan yang ditubuhkan awal tahun 2007 itu terdiri daripada murid-murid Tahun 4 dan 5 sekolah itu yang mendapat bimbingan tiga orang guru - Mas Noraini Abu Samah, Siti Fatimah Geran dan Aedillah Hassan. Menurut Siti Fatimah, pada masa ini terdapat 20 orang murid mempelajari tarian zapin itu, namun yang aktif membuat persembahan seramai 8 orang. Katanya, kumpulan zapin sekolah itu sering mendapat undangan membuat persembahan dalam majlis menyambut ketibaan orang kenamaan, majlis keramaian dan perkahwinan. Tambahnya lagi, penubuhan kumpulan zapin ini juga dapat memupuk semangat cinta kepada kebudayaan sendiri. SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR, MEDKOM.MY |
Ditulis oleh Hai Rozzaman Jalal |
Khamis, 20 Ogos 2009 00:00 | 9 hits |
![]() SEMBAH...Pesilat Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat sedang membuat persembahan pada majlis keramaian sekolah. LEDANG: Untuk melatih seseorang supaya mahir dalam sesuatu bidang sehingga mereka benar-benar menguasainya memerlukan jangkamasa yang panjang. Begitu juga halnya untuk melatih silat, satu bidang yang memerlukan ketekunan dan minat yang mendalam. Demikian pendapat jurulatih silat, Jamil Samaon, yang dipertanggungjawabkan melatih 26 murid Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat yang berusia di antara 7 hingga 8 tahun. Menurutnya, latihan selama satu setengah jam setiap hari Jumaat itu masih tidak mencukupi untuk membolehkan kanak-kanak tersebut menguasai gerak langkah dalam persilatan. Namun begitu, kanak-kanak itu mudah 'menangkap'apa yang diajar kerana minat yang mendalam dan keinginan untuk menguasai ilmu persilatan. Kumpulan silat ini adalah inisiatif Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah bagi memberikan pendedahan mengenai kesenian. Kumpulan silat ini sering membuat persembahan dalam majlis keraian seperti majlis perkahwinan. SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR MEDKOM.MY 20 OGOS 2009 |
KEMPLING: SATU KESENIAN JAWA DI JOHOR
Oleh HAI ROZZAMAN JALAL
DALAM masyarakat majmuk di negara kita, pelbagai jenis kebudayaan dan kesenian ada pada masyarakat masing-masing.
Kedatangan masyarakat Jawa ke tanah air kita terutamanya di selatan Semenanjung beberapa kurun yang lalu telah membawa banyak kesenian yang kini hampir dilupakan, dibawa oleh arus kemewahan teknologi moden.
Banyak kesenian masyarakat Jawa seperti kuda kepang, wayang kulit, ketoprak, barongan, pencak silat dan kempling hampir dilupakan oleh generasi baru kerana usaha-usaha untuk memeliharanya tiada.
Kesenian itu sesetengahnya masih hidup lagi terutama di kampung-kampung yang dihuni oleh masyarakat Jawa di mana generasi tua masih ada.
Kempling merupakan salah satu kesenian masyarakat Jawa yang telah wujud sejak dahulu lagi dan kini hampir dilupakan oleh masyarakat itu sendiri tanpa ada inisiatif untuk menghidupkannya agar tidak pupus dari ingatan generasi yang ada.
Kesenian kempling ini pada kebiasaannya dipersembahkan di majlis-majlis keramaian seperti majlis berkhatan, perkahwinan, Maulidur Rasul, menyambut kelahiran bayi, potong jambul dan sebagainya.
Pada dasarnya, kumpulan kempling ini ditubuhkan sebagai kesenian hiburan masyarakat Jawa kerana pada ketika itu tiada alat-alat hiburan seperti radio dan televisyen.
Selain itu, dengan adanya kumpulan kempling di sesebuah kampung, masyarakatnya sama ada golongan tua atau muda dapat disatukan dan berkumpul mempelajari kesenian nenek moyang mereka.
Permainan kempling ini mempunyai unsur-unsur keagamaan yang memuji-muji kebesaran Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW.
Nazam atau lirik bagi permainan kempling ini berpandukan kepada berzanji atau rawi.
Terdapat enam jenis alat permainan kempling yang mempunyai bunyi dan fungsi yang berlainan.
Alat-alat itu ialah jidur, gendang, karon, kempling dan dua buah kempol. Kesemua alat-alat ini diperbuat dari kulit kambing manakala baluhnya daripada kayu.
Kombinasi keenam-enam alatan kempling ini melahirkan satu bunyian yang indah dan menarik. Ada ketikanya, ia dapat didengar sehingga beberapa kilometer terutama pada waktu malam.
Bagi memulakan permainan kempling ini, bacaan surah al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dibaca terlebih dahulu. Kemudian barulah dimulakan berpandukan bab-bab yang terdapat di dalam berzanji.
Sebenarnya permainan kempling tiada had masa yang tertentu tetapi ia memerlukan masa yang agak panjang bergantung kepada berapa lagu dan bab di dalam berzanji.
Pada kebiasaannya, permainan kempling ini dimainkan pada waktu malam dan akan membawa ke pagi. Ia juga boleh dimainkan atau dipersembahkan pada waktu siang atau malam mengikut kehendak tuan rumah.
Mereka akan bermain secara bergilir-gilir dan berjaga dari malam hingga ke pagi atau dipanggil "lek-lek'an" dalam bahasa Jawa.
Apabila sesebuah lagu atau bab selesai dimainkan, ia akan diselangselikan dengan bacaan berzanji dan akan dimulakan semula apabila bacaan satu bab berzanji tamat.
Tuan rumah akan menyediakan hidangan kuih-muih dan minuman bagi menghilangkan rasa mengantuk para pemain kempling.
Permainan kempling ini akan ditamatkan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Sebenarnya, kesenian kempling ini merupakan salah satu cara memuji-muji Nabi Muhammad SAW yang dilakukan oleh masyarakat Jawa dahulu berpandukan berzanji.
Masyarakat dahulu yang tinggal di desa-desa menggunakan kesenian seumpama ini untuk memupuk semangat kerjasama dan muhibah sambil berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung itu.
Untuk itu, bagi memelihara kesenian tradisional ini agar ia terus wujud dan kekal sebagai kesenian warisan, generasi muda perlulah berusaha untuk mewarisinya.
Pihak yang bertanggungjawab dalam bidang ini perlu sama-sama mengambil daya usaha tertentu demi kesinambungan kesenian tradisional ini supaya tidak luput dibawa arus kemodenan dan kebudayaan liar.
[Dipetik dari akhbar TRAS, Jumaat, 28 Jun 1996]
Ditulis oleh Hai Rozzaman Jalal |
Rabu, 19 Ogos 2009 11:39 | |
![]() TABUH…Anggota kumpulan kempling menabuh peralatan untuk menghasilkan kombinasi irama yang menarik dan indah. LEDANG : Salah satu kesenian tradisi yang masih bertahan di Johor adalah kempling. Kesenian yang diwarisi daripada budaya Jawa ini masih banyak diamalkan di daerah-daerah Muar, Ledang dan Batu Pahat. Di Ledang, antara kampung yang masih mempertahankan kesenian ini ialah Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris di Bukit Gambir, Kampung Melayu Raya, Sagil Parit Satu dan Sagil Parit Dua di Tangkak. Di samping bertujuan sebagai hiburan, kemplingan juga berfungsi menghimpunkan masyarakat kampung bagi memudahkan pertemuan dan mengadakan perbincangan. Kempling biasanya dipersembahkan dalam majlis tertentu seperti berkhatan, cukur rambut bayi, perkahwinan dan majlis keramaian. Ia dipersembahkan oleh satu kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 10 - 15 orang ahli di mana enam orang daripada mereka memainkan peralatan kempling. Peralatan kempling terdiri daripada gendang, kempling, jidur, karon dan dua buah kempol yang kesemuanya diperbuat daripada kayu. Kombinasi keenam-enam alat muzik ini dapat melahirkan irama yang indah dan mengasyikkan dan jika ia dimainkan pada waktu malam, iramanya boleh didengar sehingga ke beberapa buah kampung. Nazam yang dinyanyikan dalam permainan kempling ini pula diambil dari kitab berzanji atau rawi yang kesemuanya berjumlah 16 bab. Namun begitu, nazam boleh diubahsuai kepada beberapa pantun Melayu atau yang dikarang sendiri sesuai dengan peredaran zaman tetapi rentak dan iramanya masih mengikut yang asli. Dahulu, permainan kempling dipersembahkan pada waktu malam iaitu selepas Isyak dan berlarutan hingga ke tengah malam membawa ke pagi bagi meraikan kanak-kanak yang hendak dikhatan. Kini, persembahan kempling hanya dilakukan sehingga tengah malam sahaja atau pada waktu siang bergantung kepada permintaan tuan rumah.
![]() ALATAN…Enam jenis peralatan genderang yang digunakan dalam permainan kemplingan. SUMBER: PORTAL KHABAR ORANG JOHOR MEDKOM.MY 19 OGOS 2009 |
KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.
Allahyarham yang juga penyanyi utama kumpulan itu dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.