KEMPLING: SATU KESENIAN JAWA DI JOHOR
Oleh HAI ROZZAMAN JALAL
DALAM masyarakat majmuk di negara kita, pelbagai jenis kebudayaan dan kesenian ada pada masyarakat masing-masing.
Kedatangan masyarakat Jawa ke tanah air kita terutamanya di selatan Semenanjung beberapa kurun yang lalu telah membawa banyak kesenian yang kini hampir dilupakan, dibawa oleh arus kemewahan teknologi moden.
Banyak kesenian masyarakat Jawa seperti kuda kepang, wayang kulit, ketoprak, barongan, pencak silat dan kempling hampir dilupakan oleh generasi baru kerana usaha-usaha untuk memeliharanya tiada.
Kesenian itu sesetengahnya masih hidup lagi terutama di kampung-kampung yang dihuni oleh masyarakat Jawa di mana generasi tua masih ada.
Kempling merupakan salah satu kesenian masyarakat Jawa yang telah wujud sejak dahulu lagi dan kini hampir dilupakan oleh masyarakat itu sendiri tanpa ada inisiatif untuk menghidupkannya agar tidak pupus dari ingatan generasi yang ada.
Kesenian kempling ini pada kebiasaannya dipersembahkan di majlis-majlis keramaian seperti majlis berkhatan, perkahwinan, Maulidur Rasul, menyambut kelahiran bayi, potong jambul dan sebagainya.
Pada dasarnya, kumpulan kempling ini ditubuhkan sebagai kesenian hiburan masyarakat Jawa kerana pada ketika itu tiada alat-alat hiburan seperti radio dan televisyen.
Selain itu, dengan adanya kumpulan kempling di sesebuah kampung, masyarakatnya sama ada golongan tua atau muda dapat disatukan dan berkumpul mempelajari kesenian nenek moyang mereka.
Permainan kempling ini mempunyai unsur-unsur keagamaan yang memuji-muji kebesaran Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW.
Nazam atau lirik bagi permainan kempling ini berpandukan kepada berzanji atau rawi.
Terdapat enam jenis alat permainan kempling yang mempunyai bunyi dan fungsi yang berlainan.
Alat-alat itu ialah jidur, gendang, karon, kempling dan dua buah kempol. Kesemua alat-alat ini diperbuat dari kulit kambing manakala baluhnya daripada kayu.
Kombinasi keenam-enam alatan kempling ini melahirkan satu bunyian yang indah dan menarik. Ada ketikanya, ia dapat didengar sehingga beberapa kilometer terutama pada waktu malam.
Bagi memulakan permainan kempling ini, bacaan surah al-Fatihah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dibaca terlebih dahulu. Kemudian barulah dimulakan berpandukan bab-bab yang terdapat di dalam berzanji.
Sebenarnya permainan kempling tiada had masa yang tertentu tetapi ia memerlukan masa yang agak panjang bergantung kepada berapa lagu dan bab di dalam berzanji.
Pada kebiasaannya, permainan kempling ini dimainkan pada waktu malam dan akan membawa ke pagi. Ia juga boleh dimainkan atau dipersembahkan pada waktu siang atau malam mengikut kehendak tuan rumah.
Mereka akan bermain secara bergilir-gilir dan berjaga dari malam hingga ke pagi atau dipanggil "lek-lek'an" dalam bahasa Jawa.
Apabila sesebuah lagu atau bab selesai dimainkan, ia akan diselangselikan dengan bacaan berzanji dan akan dimulakan semula apabila bacaan satu bab berzanji tamat.
Tuan rumah akan menyediakan hidangan kuih-muih dan minuman bagi menghilangkan rasa mengantuk para pemain kempling.
Permainan kempling ini akan ditamatkan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Sebenarnya, kesenian kempling ini merupakan salah satu cara memuji-muji Nabi Muhammad SAW yang dilakukan oleh masyarakat Jawa dahulu berpandukan berzanji.
Masyarakat dahulu yang tinggal di desa-desa menggunakan kesenian seumpama ini untuk memupuk semangat kerjasama dan muhibah sambil berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung itu.
Untuk itu, bagi memelihara kesenian tradisional ini agar ia terus wujud dan kekal sebagai kesenian warisan, generasi muda perlulah berusaha untuk mewarisinya.
Pihak yang bertanggungjawab dalam bidang ini perlu sama-sama mengambil daya usaha tertentu demi kesinambungan kesenian tradisional ini supaya tidak luput dibawa arus kemodenan dan kebudayaan liar.
[Dipetik dari akhbar TRAS, Jumaat, 28 Jun 1996]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan