Ditulis oleh Hai Rozzaman Jalal |
Rabu, 19 Ogos 2009 11:39 | |
LEDANG : Salah satu kesenian tradisi yang masih bertahan di Johor adalah kempling. Kesenian yang diwarisi daripada budaya Jawa ini masih banyak diamalkan di daerah-daerah Muar, Ledang dan Batu Pahat. Di Ledang, antara kampung yang masih mempertahankan kesenian ini ialah Kampung Parit Kassan dan Parit Haji Idris di Bukit Gambir, Kampung Melayu Raya, Sagil Parit Satu dan Sagil Parit Dua di Tangkak. Di samping bertujuan sebagai hiburan, kemplingan juga berfungsi menghimpunkan masyarakat kampung bagi memudahkan pertemuan dan mengadakan perbincangan. Kempling biasanya dipersembahkan dalam majlis tertentu seperti berkhatan, cukur rambut bayi, perkahwinan dan majlis keramaian. Ia dipersembahkan oleh satu kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 10 - 15 orang ahli di mana enam orang daripada mereka memainkan peralatan kempling. Peralatan kempling terdiri daripada gendang, kempling, jidur, karon dan dua buah kempol yang kesemuanya diperbuat daripada kayu. Kombinasi keenam-enam alat muzik ini dapat melahirkan irama yang indah dan mengasyikkan dan jika ia dimainkan pada waktu malam, iramanya boleh didengar sehingga ke beberapa buah kampung. Nazam yang dinyanyikan dalam permainan kempling ini pula diambil dari kitab berzanji atau rawi yang kesemuanya berjumlah 16 bab. Namun begitu, nazam boleh diubahsuai kepada beberapa pantun Melayu atau yang dikarang sendiri sesuai dengan peredaran zaman tetapi rentak dan iramanya masih mengikut yang asli. Dahulu, permainan kempling dipersembahkan pada waktu malam iaitu selepas Isyak dan berlarutan hingga ke tengah malam membawa ke pagi bagi meraikan kanak-kanak yang hendak dikhatan. Kini, persembahan kempling hanya dilakukan sehingga tengah malam sahaja atau pada waktu siang bergantung kepada permintaan tuan rumah.
|
--
http://infoledang.blogspot.com
~sumber berita warga ledang~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan